|
xxxxxxxxxxxxxxx Utusan Malaysia, 29 Disember 2001 (Sastera & Budaya)
SUZLEE Karyanya Semakin Unik
Oleh AZMAN ISMAIL
BERCAKAP
tentang perkembangan aliran seni lukis abstrak ekspresionisme di Malaysia, Suzlee Ibrahim adalah pelukis yang setia menekuni
aliran ini sejak 1995. Sebenarnya, karya-karya yang tidak mengutamakan imej atau subjek tertentu dengan kombinasi sapuan
berus yang kasar dan halus tidak banyak ditekuni oleh pelukis Malaysia dewasa ini. Ini kerana `tuduhan' sesetengah khalayak
bahawa karya abstrak ekspresionisme ini tidak menonjolkan nilai artistik sesebuah karya tampak berbanding dengan aliran realisme
dan surealisme. Meskipun begitu, banyak perubahan yang ditonjolkan dalam setiap karyanya sehingga tahun ini. Ia begitu
ketara dari aspek catan, kombinasi tekstural dan paling penting pencarian identitinya tersendiri. Pada peringkat awal
pengkaryaannya, karya-karya Movement Series begitu mementingkan gaya dan teknik catan tokoh-tokoh besar dalam aliran ini seperti
Jackson Pollock, Willem de Kooning, Mark Rothko ataupun Franz Kline. Dalam erti kata lain, paparan karya yang banyak menonjolkan
gejolak emosi pelukisnya yang diperlihatkan menerusi sapuan berus dan garis-garis warna yang begitu sukar untuk ditafsirkan.
Kini karya-karya Suzlee memperlihatkan kematangan, khususnya dari aspek gaya pengkaryaannya yang semakin meninggalkan
teknik dan konsep karya pelukis-pelukis besar ekspresionisme Barat itu. Tumpuan catan tidak lagi terhadap warna-warna
kontras yang membawa imej ketakutan dan gejolak perasaan Suzlee yang tidak menentu, sebaliknya memperlihat nada serta ritma
yang harmoni dan tenteram. Oleh itu, emosi ini diperlihatkan menerusi sapuan yang agak lembut dan kurang menggunakan warna-warna
kontras. Sebaliknya beliau cenderung menggunakan warna-warna seperti biru, ungu dan kuning dalam satu kombinasi yang menarik.
Selain itu, karya-karya terbaru Suzlee sepanjang tahun 2001 juga menggunakan warna-warna yang sama sekali tidak terdapat
dalam karya-karya awal Movement Series seperti kelabu dan putih. Malah dalam beberapa karya terbarunya, Suzlee menggunakan
warna biru yang begitu ketara dalam pada keseluruhan kanvas dengan kombinasi beberapa warna ceria lain seperti kuning dan
sedikit merah dan emas. Karya-karya terbarunya juga sangat sedikit menggunakan warna hitam dan putih yang menjadi ciri
utama karya-karyanya terdahulu. Namun, ini tidak bererti ciri-ciri khas abstrak ekspresionismenya telah hilang. Justeru,
Suzlee menerusi beberapa karya terbaiknya seperti Missing You (Terengganu) berjaya menunjukkan kematangan dalam mengeksplorasi
warna untuk menyampaikan mesej kepada khalayaknya. Penggunaan catan yang agak berbeza ini bukan hanya mengikis pengaruh
tokoh-tokoh ekspresionis Barat tetapi juga membawa konsep baru ekspresionisme yang bercitrakan seni tampak tempatan. Kemampuan
mengadaptasi gaya ekspresionisme Barat ke dalam wacana seni tempatan inilah menjadikan karya-karya terbaru Suzlee begitu unik
dan menarik.

|
| UTUSAN MALAYSIA /24 April 2002 (Sastera & Budaya) |
SUZLEE di samping lukisan terbarunya
Drum Beat: 2002, salah satu karya terbaik dalam Movement Series.
Karya Suzlee bertaraf
dunia
PAMERAN seni lukis
10 World Artists di Noosa Gallery, Australia baru-baru ini memperlihatkan perkembangan menarik dalam dunia seni catan tempatan.
Ini kerana antara 10 pelukis terbaik dunia, seorang daripadanya adalah pelukis Malaysia iaitu Suzlee Ibrahim.
Program ini anjuran
Artists Own Registry (AOR) iaitu badan yang bertanggungjawab untuk membuat pemilihan serta menilai pelukis yang berbakat serta
berpotensi besar dalam seni visual.
Pastinya bukan sesuatu
yang mudah kerana AOR hanya memilih 10 pelukis yang terbaik seluruh dunia. Pemilihan pastinya tertumpu kepada pelukis dunia
yang aktif, berbakat dan komited dari aspek mutu pengkaryaan.
Peter Alexandroff,
salah seorang panel yang dilantik oleh Noosa Gallery telah membuat pemilihan yang teliti dengan memilih 10 pelukis dari 10
negara iaitu Jepun, Amerika, Australia, Denmark, Malaysia, Bolivia, Perancis, Korea Selatan, Scotland dan Vietnam.
Pelukis yang terpilih
akan mempamerkan karya-karya terbaik mereka berdasarkan kemahiran mengikut aliran atau bidang masing-masing. Antara karya
yang dipamerkan ialah lukisan bercorak realisme, pop art, surrealisme, figuratif, media campuran, seni digital dan abstrak.
Suzlee dalam konteks pemilihan ini dianggap begitu tepat berdasarkan kejayaan, potensi
dan konsistennya dalam aliran abstrak ekspresionisme sejak 1992. Malah, beliau dianggap sinonim dengan aliran ini.
Beliau misalnya telah
menyertai lebih 100 pameran di dalam dan negara meliputi pameran berkumpulan dan solo. Karya-karyanya juga menjadi milik beberapa
kolektor di seluruh dunia.
Pada pameran 10 World
Artist Suzlee mengetengahkan 11 karya terbaiknya dari Movement Series yang menggunakan cat minyak dan akrilik di kanvas. Ia
dihasilkan dari 1996 hingga 2001.
Melihat karya-karya
ini, khalayak boleh membuat satu perbandingan catan-catan yang telah dihasilkan dalam tempoh tersebut. Interior, November
dan Extreme Lives 2 adalah antara karya yang dipamerkan.
Idea karya Suzlee
dianggap mempunyai kekuatan tersendiri dalam aliran abstrak ekspresionisme. Gaya sapuan tekstural dan gestural yang kasar,
spontan dan bersahaja menonjolkan gerakan emosi yang begitu kuat.
Kesungguhan dalam
bereksperimen dan mencari identiti tersendiri dalam aliran ini menyebabkan Suzlee berjaya `meninggalkan' pengaruh pelukis
abstrak ekspresionisme Barat seperti Willem de Kooning dan Jackson Pollock dalam karya-karya awalnya.
Ini dibuktikan dalam
karya-karya mutakhirnya yang menonjolkan gaya tersendiri dalam aliran ini. Antara lain, penggunaan kombinasi warna seperti
merah, hitam dan kuning yang berbeza dengan gaya kedua-dua tokoh tersebut.
Sapuan berus dan penggunaan
warna seperti itu, secara tidak langsung memberi impak dan daya tarikan emosi kepada khalayak untuk menyelami mesej yang cuba
diutarakan oleh Suzlee dalam konteks seni lukis tempatan.
Di samping itu, beberapa
eksperimen dari aspek warna dan bentuk juga menjadikan karya-karya mempunyai tarikan. Lukisan-lukisannya yang dihasilkan pada
2000 (sewaktu berada di England) agak berlainan. Ia dipersembahkan secara vertikal, berbeza dengan gaya horizontal seperti
sebelumnya.
Sementara itu, antara
pelukis yang mengambil bahagian dalam 10 World Artist ialah Richard Baxter (Australia) dan Prof. Kim Myung-Sik (Korea).
Pemilihan Suzlee
merupakan pengiktirafan dunia terhadap pelukis tempatan dan juga hasil-hasil seni mereka yang tidak kalah mutu, idea, konsep
dan gaya.
©
UTUSAN MELAYU (M) BHD., 46M, Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin,
55200 Kuala Lumpur.
Utusan Malaysia;2 Jun 2002 ;(Sastera)
Suzlee Duta Catan ke Slovenia
TANGGAL 15 Mei lalu sekali lagi menjadi catatan penting dalam sejarah perkembangan seni catan tempatan. Pada tarikh tersebut,
pelukis abstrak ekspresionis tanah air, Suzlee Ibrahim sekali lagi terpilih mewakili negara ke pameran Spring Award Bled 2002
di Ljubljana, Slovenia.
Meskipun hanya mempamerkan tiga karya terbarunya, iaitu Thames River, Grey dan Day & Night, Suzlee telah berjaya
mengharumkan nama negara sebagai wakil tunggal bersama 180 pelukis lain dari 45 negara.
Pameran ini merupakan pengiktirafan besar kepada komitmen dan kejayaan Suzlee setelah pameran 10 World Artists di Australia
Mac lalu. Beliau juga pernah mengadakan pameran solo di City Gallery, Leicester, England.
Tidak dinafikan dalam konteks pengkaryaan dan komitmen, pensyarah di Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, UiTM ini telah
mengambil bahagian lebih 100 pameran berkumpulan dan solo.
Pada November ini misalnya, Suzlee akan mengambil bahagian dalam pameran bersama di Denmark dan Itali pada tahun 2003
dan pameran solo di New York pada 2004.
Sementara itu, karya-karya Suzlee yang dipamerkan di Spring Award Bled 2002 merupakan siri terbaru Movement Series yang
menggunakan media akrilik dan cat minyak di atas kanvas.
Karya ini bersaiz sederhana dan mempunyai ukuran 80sm x 100sm. Namun, unsur yang paling ketara ialah terlihat beberapa
percubaan baru Suzlee untuk memantapkan lagi siri ini.
Pihak penganjur pada pameran ini misalnya telah menetapkan beberapa kriteria sesuai dengan kedudukan sebagai salah sebuah
pameran berprestij di Eropah. Ia terbahagi kepada tiga genre tampak, iaitu art on paper, catan dan arca dengan saiz yang telah
ditetapkan.
Melihat karya-karya Suzlee pada pameran ini akan ditemukan teknik terbaru yang ingin diketengahkan kepada khalayaknya.
Thames River misalnya banyak menggunakan warna biru secara keseluruhannya, sesuatu yang agak berbeza dengan karya-karya
awalnya yang menekankan warna-warna merah, biru dan hitam.
Penggunaan biru ini memperlihatkan karya-karya ini lebih harmoni dan tenang tanpa gejolak emosi yang sering disuarakan
dalam karya-karyanya.
Begitu juga dalam karya Grey yang menyuarakan ketenangan dan harmoni. Namun, sedikit berbeza dengan Day & Night
yamg memaparkan warna kontras, iaitu gelap dan terang.
Komposisi warna pada Thames River dan Day & Night sedikit berbeza dengan kerana ia diolah dengan sekata, berbanding
dengan Grey yang diberi ruang kosong menggunakan warna kelabu sehingga terlihat gerakan emosi pelukis.
Karya ini diimbangi dengan penggunaan warna terang dan cerah, iaitu warna merah di sebelah kiri untuk memberi impak yang
baik biarpun penggunaan warnanya sedikit.
UTUSAN MELAYU (M) BHD., 46M, Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.
Utusan malaysia (31 Januari 2005)
Suzlee sertai EMAAR International Art Symposium
PENSYARAH dari Fakulti Seni Lukis & Seni Reka, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Suzlee Ibrahim terpilih
menyertai EMAAR International Art Symposium di Dubai, Amiriyah Arab Bersatu (UAE) yang sedang berlangsung dan akan berakhir
7 Februari ini.
Suzlee dari Jabatan Seni Halus mewakili negara bagi menyertai The International Painting Workshop yang merupakan sebahagian
daripada pengisian simposium tersebut.
Penganjur telah memilih 30 pelukis dari seluruh dunia untuk menyertai bengkel itu. Peluang mendapat tempat bagi menyertainya
sebenarnya adalah sukar kerana terpaksa bersaing dengan pelukis ternama dari seluruh dunia.
Suzlee agak bertuah kerana terpilih mewakili negara menyertai bengkel ini. Jangka masa dua minggu yang diberikan untuk
menyiapkan sekurang-kurangnya tiga buah karya sememangnya sesuatu yang mencabar.
Beliau berharap bengkel ini dapat menjadi jambatan atau rangkaian baru untuknya berhubung dengan pelukis-pelukis ternama
dari luar negara.
Pengalaman teoritikal dan amali yang dipungut sewaktu perjalanan bengkel tersebut boleh dikongsi bersama pensyarah mahupun
pelajar sekembalinya ke tanah air kelak.
Menurut Timbalan Dekan Akademik, Fakulti Seni Lukis & Seni Reka UiTM, Prof Madya Ponirin Amin, pemilihan Suzlee menyertai
bengkel tersebut merupakan satu pengiktirafan pihak luar kepada kakitangan UiTM.
``Jemputan ini juga secara tidak langsung membuktikan karya-karya Suzlee mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa
dan setanding dengan pelukis-pelukis terkenal dunia.
``Sudah pastilah art collector yang memiliki karya pelukis ini berbangga kerana karya yang mereka miliki mempunyai artistic
value dan semakin tinggi nilainya,'' katanya di sini baru-baru ini.
Bagi peminat seni visual tanah air, nama Suzlee sememangnya tidak asing lagi.
Beliau telah mengambil bahagian pada lebih 100 pameran berkumpulan termasuk 10 pameran perseorangan di dalam mahupun di
luar negara.
Sebelum ini, Suzlee juga pernah terpilih menyertai 10 International Workshop for Visual Artists di Brande, Denmark pada
tahun 2002 dan juga 10 World Artists Show di Noosa Gallery, Australia.
EMAAR Properties selaku pihak penganjur simposium berhasrat menjadikan EMAAR International Art Symposium ini sebagai acara
tahunan dan memilih Dubai sebagai tempat himpunan seni budaya dari pelosok dunia.
Simposium itu juga memberi penghargaan dan pengiktirafan di peringkat antarabangsa kepada insan-insan seni kreatif yang
terpilih dan perhubungan serta pertukaran budaya antara pelukis yang mengambil bahagian juga dapat dibentuk melaluinya.
Pihak penganjur menyediakan segala kemudahan bahan, peralatan melukis dan persekitaran yang sesuai bagi keselesaan peserta
untuk berkarya.
Pada akhir bengkel karya-karya akan dipamerkan di The Burj dan di The Dubai Marina Sales Centre, Dubai untuk tatapan khalayak.
Setelah kembali ke tanah air kelak, Suzlee akan berkongsi pengalaman sewaktu di Dubai dengan mengadakan pameran ke 11,
Recent Paintings di Galeri Seni Maya, Bangsar pada 8 hingga 27 Mac depan.

UTUSAN MALAYSIA Sastera: 12 Mac 2007 (22 Safar 1428) Menjengah estetika
Mail Art di Galeri Shah Alam Oleh Azman Ismail
SUZLEE Ibrahim (dua dari kanan) memberi penjelasan tentang salah satu karya Mail Art yang dipamerkan di Galeri
Shah Alam, Selangor hingga 7 April ini.
DI RUANG pameran Galeri Shah Alam, terpamer lebih 100 karya Mail Art. Ia merupakan satu aliran baru dalam
seni tampak di Malaysia walaupun telah lama wujud di negara-negara Eropah. Tidak ada karya-karya bersaiz besar. Ia hanya
karya yang berukuran antara satu hingga tiga kaki persegi yang sesuai dihantar melalui perkhidmatan pos atau perkhidmatan
pengiriman.
Selain karya-karya pelukis tempatan, terdapat karya oleh 74 pelukis asing termasuk dari Amerika Syarikat (AS),
Austria, Belarus, Belgium, Canada, Perancis, Mexico, Jerman dan Lithuania. Menerusi karya-karya yang dipamerkan selama
sebulan yang akan berakhir pada 7 April depan itu, khalayak diberi pendedahan secara visual makna daripada Mail Art yang masih
terlalu baru di Malaysia sedangkan sejarah genre seni tampak itu dikatakan telah bermula sejak zaman Cleopatra di Eropah.
Antara pelukis asing yang terlibat dalam pameran tersebut ialah Wilhelm Schramn (Austria), Karena Kharaneka
(Belarus), Bernd Reichert (Belgium), Fabrice Fossie (Perancis), Lucia Polanco (Sepanyol), Dorothea Fleiss (Jerman), Cohen
Ryosuke (Jepun) manakala antara pelukis tempatan pula ialah Fawwaz Abdul Aziz, Adlan Aman dan Jasara Awang Adek (Malaysia).
Bagaimanapun masih tercatat beberapa nama pelukis tempatan yang bergerak aktif dengan aktiviti Mail Art. Antaranya
ialah Abu Bakar Idris, Asliza Aris, Danny Hilman, Mohd. Suhaimi Tohid, Nizam Radzaly dan Rasfan Abu Bakar.
Secara konsepnya, karya-karya Mail Art bersaiz kecil dan sederhana, seperti poskad, kertas atau kanvas bersaiz
A4 ataupun A3. Dalam pengertian ringkas, Mail Art ialah satu karya seni yang melalui proses penghantaran melalui pejabat pos
atau perkhidmatan pengiriman. Ianya mungkin satu lukisan, lakaran atau apa sahaja yang dianggap karya seni yang melalui proses
tersebut. Karya-karya yang dipamerkan adalah hasil dari koleksi Suzlee Ibrahim yang juga seorang pelukis abstrak yang terkenal
dengan Movement Series. Beliau sememangnya aktif dengan aktiviti-aktiviti mail art sejak tahun 1999 lagi.
Suzlee juga mengasaskan satu kumpulan Mail Art iaitu International Mail Art Artists Group (I-MAG) yang telah
berjaya mengumpul karya-karya Mail Art dari 51 buah negara.
“Pengumpul karya yang terlibat dalam Mail Art menggunakan medium ini bagi menambah koleksi seni mereka
seperti lukisan, lakaran, ilustrasi, sampul surat, setem dan apa sahaja bentuk karya seni yang melalui proses penghantaran
menggunakan pengiriman pos.
“Sesetengah pendapat mengatakan jika seketul batu diposkan dan seseorang menerimanya ianya juga boleh
dianggap Mail Art,’’ katanya.
Prinsip yang paling penting dalam Mail Art ialah seseorang yang menghantar sesebuah karya seninya, harus juga
menerimanya dari pengirimnya.
Dalam erti kata lain seseorang yang terlibat dalam aktiviti Mail Art mestilah seorang yang aktif menghasilkan
karya seni Mail Art.
Percuma Penghantaran karya Mail Art melalui pos dilihat sebagai
pertukaran karya secara percuma daripada seorang artis kepada seorang artis yang lain yang membentuk persahabatan dan keakraban.
Dalam sejarah Mail Art, pelukis legenda Vincent Van Gogh juga menghantar lakaran-lakaran beliau melalui pos kepada temannya,
Theo yang akhirnya menjurus kepada penghasilan karya-karya agung beliau.
Aliran seni itu berkembang secara meluas pada tahun 1940-an dan bertambah pesat pada tahun 1960an dengan adanya
kumpulan seperti Fluxus, Le Nouveau Realisme, Gutai dan Ray Johnson’s New York Correspondence School.
Dikatakan isteri kepada penyanyi legenda, John Lennon, Yoko Ono dan Christo juga pernah terlibat dalam aktiviti-aktiviti
Mail Art. Kini beratus-ratus kumpulan Mail Art bergerak aktif di seluruh dunia dengan pelbagai aktiviti Mail Art yang dianjurkan
oleh pelbagai kumpulan. Nama-nama seperti Dragonfly (USA), IUOMA (Netherlands), Braincell (Jepun), Green Cat (Switzerland)
dan Independent Arts Festival (Belgium) tidak asing bagi peminat Mail Art.
“Saya percaya bahawa aktiviti Mail Art merupakan sesuatu aktiviti yang sihat yang bukan sahaja membentuk
jaringan kenalan, malah lebih dari itu. Kita dapat mengenali budaya dan cara hidup manusia dari pelbagai negara melalui Mail
Art yang dikirim.
“Sebagai seorang pelukis, teknik pengolahan, idea dan media yang digunakan pada setiap Mail Art yang
diterima mempunyai nilai artistik yang tersendiri yang tidak mungkin dapat dicapai dengan nilai wang ringgit,’’
tambah Suzlee.
Sementara itu, Pengarah Galeri Shah Alam, Prof. Madya Mohd. Said Abu berkata, di Malaysia Mail Art tidak ramai
dikenali atau diketahui oleh khalayak kerana ia masih terlalu baru.
Bagaimanapun beliau berkata, sesetengah penggiat seni tampak di negara-negara Eropah seperti Jerman, Perancis
serta Itali terlibat secara aktif dalam aktiviti seni tersebut dan mereka sering mengadakan pameran.
Dalam sejarah Mail Art di Malaysia, pameran pertama telah diadakan di Galeri Seni, Fakulti Seni Lukis &
Seni Reka, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam pada bulan September hingga Oktober 2006.
Ianya menggabungkan beberapa kumpulan Mail Art yang bergerak aktif di Malaysia di mana Suzlee bertindak sebagai
kurator pameran.

Menelusuri warna dan makna karya Suzlee di UKM
UTUSAN MALAYSIA/ 26 Mac 2007 7 Rabiul Awal 1428
PELUKIS terkenal Indonesia, Raden Salleh Sjarif Bestaman (1807-1880) dalam sebuah catatan kecilnya menulis;
warna bagi seorang pelukis adalah lentera tentang dirinya. Kesimpulan mudah pendapat Raden Saleh itu ialah, bagi semua
pelukis di dunia, warna, catan dan imejan pada kanvas adalah sebuah catatan visual bagi seseorang pelukis. Ia menghimpun kisah
duka, rasa gembira, kekaguman dan apa sahaja yang berada di sekitarnya.
Menjenguk pameran solo pelukis abstrak ekspresionisme Suzlee Ibrahim, Suzlee Ibrahim: Koleksi Pelukis, selama
sebulan, hingga 31 Mac ini, di Galeri Pusat Kebudayaan, Dectar, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), ia bertepatan dengan
kenyataan Raden Saleh tersebut.
Sebanyak 23 buah karya lukisan yang menggunakan medium akrilik dan cat minyak di atas kanvas dipamerkan.
Karya-karya Suzlee merupakan seni visual yang berbentuk abstrak keseluruhan yang tidak mempunyai apa-apa imej yang dikenali.
Karya-karya tersebut merupakan seni visual terbaik koleksi peribadi pelukis setelah berkecimpung di dalam
bidang seni lukis selama 20 tahun.
Dalam perjalanan panjangnya, Suzlee merupakan seorang pelukis yang aktif berkarya, bukan sahaja di dalam
negara malah juga di peringkat antarabangsa. Karya-karya beliau pernah dipamerkan antaranya di Denmark, Perancis, Jerman dan
Itali termasuk pameran solonya di The City Gallery, Leicester, England pada tahun 2000.
Secara umumnya karya-karya Suzlee menampilkan catatan tentang gejolak emosi, pengembaraan psikologi atau
sebuah ekspresi yang sukar diungkapkan dengan kata-kata. Jika diperhatikan dengan teliti, sesebuah karya Suzlee memerlukan
masa yang agak lama untuk disiapkan. Ini dijelaskan dengan lapisan demi lapisan dan warna yang agak tebal kelihatan pada kanvas,
disokong dengan palitan warna tersebut yang berubah menjadi tekstural kasar.
Kesan berus yang berulang di tempat yang sama kadang-kadang diubah diatasnya dengan warna yang berlainan. Ini
menunjukkan emosi pelukis sentiasa berubah mengikut waktu dan keadaan. Karya-karya beliau benar-benar menunjukkan luahan emosi
pelukis abstrak ekspresionisme.
Dalam konteks ini, Suzlee tidak memikirkan pembaziran warna dengan menggunakan sapuan warna yang berulang
di dada kanvas yang sama. Tidak penting bagi beliau berapa lama untuk menyiap sesebuah catan. Apa yang penting untuk pelukis
aliran ini ialah luahan emosi pelukis semata-mata. Tidak ada yang lebih penting dari itu.
Pendekatan dan gaya Suzlee khususnya dan pelukis aliran tersebut umumnya berbeza dengan karya-karya pelukis
aliran Pop Art. Tokoh terkenal aliran Pop Art seperti Andy Warhol misalnya, menggunakan teknik silk screen.
Karya terkenalnya, Marilyn (1967) hanya menggunakan satu lapisan warna sahaja kerana ia menggunakan imej
wajah manusia yang dikenali iaitu Marilyn Monroe.
Ini berbeza dengan karya-karya Suzlee, beliau menolak penggunaan imej sama sekali. Cuma luahan emosi beliau
semata diluahkan ke dada kanvas dengan palitan dan percikan warna dan jalinan di atas ruang pada kanvas.
Pengolahan karya abstrak ekspresionisme terbahagi kepada dua gaya yang ketara iaitu lukisan yang meletakkan
banyak ruang kosong pada kanvas. Ia mengingatkan kita kepada nama-nama seperti Mark Rothko dan Paul Newman. Karya-karya mereka
juga agak ringkas dengan warna-warna yang rata atau sekata.
Manakala satu gaya lagi dinamakan unsur pergerakan menerusi catan pada kanvas. Seseorang pelukis menggambarkan
karya yang penuh dengan luahan emosi yang digambarkan melalui kesan berus, gestural dan percikan warna yang bersahaja seperti
yang kelihatan pada lukisan Jackson Pollock dan Willem De Kooning.
Sesetengah pendapat mengatakan karya-karya mereka inilah abstrak dalam erti kata sebenar.
Bila diperhatikan pada karya-karya Suzlee Sunset Batu Buruk (2003) kita akan dapat melihat dengan jelas
kekuatan pergerakan berus yang digunakan.
Kesan gestural dari berus yang besar dan bersahaja yang sesekali berubah menjadi kecil dan terus hilang
bersama permukaan latar karya. Warna-warna yang digunakan juga warna kontras, namun diolah menjadi harmoni dengan bantuan
kedudukan komposisi warna yang diletakkan di tempat tertentu.
Gaya yang Suzlee gunakan agak jelas menggabungkan gaya yang kelihatan daripada catan hasil karya Pollock
dan De Kooning.
Bagaimanapun, beliau mengolah karya-karyanya dengan gaya dan cita rasa seorang pelukis tempatan dengan mesej
tersendiri yang menunjukkan jatidirinya sebagai orang timur.
----------------------------------------
UTUSAN MALAYSIA
| SUZLEE bersama pelukis veteran Jepun, |

|
| Yasumichi Fukawa di pameran Arts For Earth Aid di Taito Hall, |
Imej seni Malaysia
di Tokyo Oleh Azman
Ismail
RITUAL keagamaan (Buddhisme dan Shintoisme) merupakan salah satu daripada faktor estetika yang mendorong terjadinya perubahan
corak dalam seni lukis tradisional dan sebahagian kontemporari Jepun.Nilai-nilai agama tersebut menjadui acuan untuk mengatur
tingkah laku kehidupan sosial, pembentukan nilai serta etika yang seterusnya menjadi elemen utama kerja-kerja seni para pelukisnya.
Oleh itu, karya-karya lukisan tradisional pada asasnya memuatkan ajaran moral, nilai-nilai spiritual, dasar metafizik,
ekspresi dan kualiti material yang terdapat di alam ini.
Oleh itu, dalam setiap karya tradisionalnya mempunyai keseimbangan tujuh karateristik iaitu fukinsei (asimetri), kanzo
(sederhana), kokou (esensi), Shizen (kewajaran), yuugen (bermakna), datsuzoku (bebas dari ikatan) dan seijaku (keheningan).
Masyarakat Jepun tradisional telah meletakkan seni lukis sebagai medium untuk memenuhi keperluan integriti untuk mengungkapkan
rasa keindahan, bersifat universal dan tidak mengenal status, waktu serta tempat.
Nilai-nilai ini menimbulkan kekaguman tersendiri terhadap karya-karya lukisan Jepun yang sarat dengan nilai falsafah
dan spritual. Lukisan-lukisan pelukis negara itu pada abad yang ke-19 misalnya pernah menjadi inspirasi kepada ramai pelukis
terkenal dunia.
Salah seorang daripadanya inilah pelukis agung Belanda, Vincent van Gogh (1853-1890). Beliau melahirkan beberapa karya
yang dipengaruhi oleh karya-karya cetakan kayu dan gaya lukisan Jepun yang mengkagumkan.
Karya-karyanya seperti Potrait of Pere Tanguy (1887) dan Japonaiserie: Oiran (1887) oleh Van Gogh jelas menunjukkan
pengaruh gaya seni itu yang menebalkan.
Negara Jepun sememangnya terkenal dengan karya-karya cetakan kayunya, sehingga memberi pengaruh yang besar kepada perkembangan
seni lukis dunia pada suatu ketika dahulu.
Karya-karya seni yang dihasilkannya sangat halus dan tinggi mutunya, ini terlihat pada seni visual oleh Utagawa Hiroshige
yang bertajuk Great Bridge (1857) ataupun Katsushika Hokusai, The Great Wave (1820an).
Untuk memberi pendedahan kepada pelukis Malaysia, Japan Malaysia World Arts & Culture Exchange telah membawa lapan
pelukis terkenal Malaysia dalam satu satu pameran yang berlangsung di Taito Hall, International Trade Centre, Tokyo, Jepun,
baru-baru ini.
Pameran Arts For Earth Aid tersebut dirasmikan oleh Duta Malaysia ke Jepun, Datuk Radzi Abdul Rahman. Sebanyak 650
buah karya telah dipamerkan pada pameran selama lima hari tersebut. Ia merupakan kerja oleh 300 pelukis Jepun dan tujuh pelukis
Malaysia. Pelukis-pelukis Malaysia yang mengambil bahagian dalam pameran tersebut ialah Suzlee Ibrahim, Amirudin Ariffin,
Aris Aziz, Azmi Aris, Abu Bakar Idris dan Zaim Darulaman dan Jack.
Suzlee, pelukis abstrak negara yang sinonim dengan Movement Series iaitu Suzlee Ibrahim mempamerkan tujuh buah karya
yang dihasilkan khas untuk pameran ini iaitu siri Waiting for Sakura yang menggunakan médium akrilik dan cat minyak di atas
kanvas.
Sesungguhnya, Waiting for Sakura mempunyai makna yang tersendiri. Ia sebuah simbol dan keterujaan Suzlee sebagai pelukis
menyelami keindahan bunga sakura yang belum pernah dilihat secara dekat sebelum ini.
Gejolak rasa dan keterujaan yang memenuhi jiwa itu diluahkan dengan garisan gestural yang spontan dan bersahaja yang
menghidupkan watak pada setiap karya.
Kekaguman dan keterujaan terhadap sakura diberi makna yang tersendiri melalui gerakan-gerakan berus yang kasar dan
kadang-kadang mencipta ruang melankolik tersendiri pada kanvas. Wujud kesimbangan yang luar biasa antara romantika dan
keghairahan yang luar biasa dalam menanggapi persoalan mengenai keindahan sakura yang digambarkan pada kanvas tersebut.
Keindahan sakura itu juga akan menjadi subjek utama pada pameran solonya yang ke-15 yang akan diadakan di sebuah galeri
di Kuala Lumpur, tidak lama lagi.
Abu Bakar Idris pula mempamerkan karya siri terbaru iaitu Cap Sai Cin. Sebanyak 6 buah karya dari siri tersebut yang
menggunakan medium akrilik di atas kanvas dipamerkan.
Karya semi abstrak tersebut menggabungkan imej tumbuhan ubat-ubatan tradisional Melayu sebagai motif penting yang mengisi
komposisi dalam ruang pada dada kanvas.
Warna malap dan kelam digunakkan bagi menghidupkan suasana mistik dalam karya. Sedikit tekstura dimasukkan pada komposisi
tertentu karya agar permukaan kanvas tampak pelbagai dan tidak terikat pada permukaan yang rata sahaja.
Seperti kebiasaannya, Zaim Darulaman pula menggunakan imej perahu atau bot sebagai subjek utama karyanya yang didasarkan
pantun bahari Melayu tradisional.
Karya beliau mempunyai warna yang menarik dengan kepelbagaian warna. Penggunaan warna terang seperti merah dan hijau
menjadikan setiap karyanya sebagai titik tumpuan untuk berkomunikasi dengan khalayak.
Sementara itu, Arts For Earth Aid merupakan lanjutan kepada pameran Japan-Malaysia World Arts & Culture Exhibition
for Friendship in 2007 yang telah diadakan di Balai Seni Lukis Negara pada 28 Julai 2007.
Ia antara lain merupakan kerjasama antara World Arts & Culture Exchange Malaysia-Japan Malaysia Association, Tourism
Malaysia, Persatuan Seni Lukis Kotemporari Malaysia (MCAA), Persatuan Homestay Malaysia, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia
dan Balai Seni Lukis Negara.
xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx
pelukis malaysia, malaysia artis, artist, malaysia painter, art gallery, art exhibition, solo exhibition, group exhibition,
painting, drawing, print, mixed media, installation, arcylic on canvas, oil on canvas, abastract art, abstract painting, web
sites, srt work, art group, art school, faculty of art & design, world abstract painter
|